MUSIM Liga Malaysia 2023 akan berwajah baharu apabila 18 pasukan akan bertanding dalam Liga Super manakala Liga Premier ditangguhkan sementara sebagai langkah Malaysia Football League (MFL) untuk mengembangkan Liga Malaysia.

Perkara ini disahkan Pengerusi MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam ketika Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa Ke-3 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

Struktur baharu ini telah dipersetujui oleh kesemua rakan kongsi yang hadir dengan empat pasukan teratas dari Liga Premier 2022 akan diserap masuk ke Liga Super 2023 manakala dua pasukan terbawah akan melalui playoff bersama-sama dua pasukan teratas Liga M3.

 

Ini akan menjadikan Liga Super musim 2023 akan mempunyai 34 perlawanan berbanding 22 perlawanan ketika ini sekaligus dapat membantu liga dari segi nilai komersil.

Penstrukturan Liga Malaysia ini juga menyaksikan Liga Simpanan diwujudkan dengan kesemua pasukan feeder akan bertanding bersama-sama dengan pasukan simpanan lain dengan umur pemain dihadkan dibawah 23 tahun.

Kuota pemain import untuk Liga Super juga akan ditambah kepada enam pemain tetapi hanya lima pemain (3+1+1) akan dibenarkan berada di dalam padang dengan satu pemain import akan berada di bangku simpanan.

Ia sekaligus mengekalkan enam pemain tempatan dalam setiap perlawanan dan penambahan jumlah perlawanan liga ini dapat membantu pemain tempatan untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan.

Pertukaran struktur ini juga dilihat akan membantu pasukan kebangsaan dari skuad senior hingga ke skuad junior dalam mendapatkan lebih banyak pemain yang sudah bersedia kerana mempunyai minit permainan yang banyak dari penyertaan di Liga Super dan Liga Simpanan.