Speedy Tigers tetap layak mendabik dada atas pencapaian membanggakan mereka muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 selepas tewas 1-3 kepada Australia di pentas final malam tadi.
Apa tidaknya, ia adalah kejayaan podium ketiga dalam tiga kejohanan antarabangsa berturut-turut buat Speedy Tigers dalam tempoh dua bulan terakhir ini.
Malah, tentangan yang diberikan barisan pemain cukup sesuatu yang wajar dipuji memandangkan status Australia sebagai salah satu gergasi hoki dunia yang kini berada di ranking ketiga dunia.
Bukan itu sahaja, Speedy Tigers juga berjaya menamatkan penantian empat tahun untuk kembali beraksi di pentas final PSAS sejak mereka bergelar juara pada edisi 2022.

Lebih manis, penyerang utama negara, Faizal Saari memenangi dua anugerah peribadi selaku Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaring Terbanyak kejohanan dengan 12 gol.
Dalam aksi itu, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan sebenarnya memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila menjaringkan gol seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari.
Gol itu membakar semangat barisan pemain yang terus berusaha mencari gol kedua di awal permainan, namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan Australia sebelum lawan berjaya meraih gol penyamaan di suku kedua.
Ia diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Duncan Jackson pada minit ke-19 sebelum dia meledak pul gol padang untuk menggandakan kedudukan buat Australia berselang lapan minit kemudian.
Bagaimanapun, Australia terus memperlihatkan kemampuannya dengan meledak gol ketiga, kali ini menerusi satu serangan balas pantas yang disudahkan oleh Craig Marais pada minit ke-40.
Ternyata, kelebihan fizikal yang dimiliki barisan pemain Australia antara faktor menyukarkan jentera serangan negara untuk cuba mencari gol sehinggalah tamat perlawanan.
Namun, menaiki podium tiga kali berturut-turut bermula naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, gangsa Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2026 dan kini tempat kedua PSAS 2026 adalah satu perkembangan yang cukup positif di bawah bimbingan Brendon Carolan.