TENAGA Nasional Berhad (TNB) secara rasmi memperkenalkan barisan pemain, jersi baharu serta identiti terkini pasukan utama mereka, TNB ThunderStars sebagai persiapan menghadapi Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026.
Majlis pelancaran tersebut berlangsung di ibu pejabat TNB di Bangsar pada 6 April lalu, sekali gus menandakan kesungguhan pasukan dalam mengharungi musim baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad menegaskan komitmen berterusan syarikat itu dalam memperkukuh pembangunan hoki negara selain memburu kejayaan dalam saingan domestik.
“Kami optimis untuk memberikan cabaran sengit dalam liga dan Piala TNB. Tidak mustahil untuk mengulangi kejayaan berganda seperti yang dikecapi pada 2024.
“Dalam masa sama, TNB akan terus memainkan peranan sebagai peneraju utama sukan hoki negara melalui pembangunan bakat muda yang mampan,” katanya.
Sejak menyertai Liga Hoki Malaysia pada 1987, TNB kekal sebagai antara pasukan paling konsisten tanpa pernah terlepas satu musim, dengan pencapaian terbaik terbaru adalah muncul juara berganda Liga dan Piala TNB pada 2024.
Bagi musim 2026, TNB akan mempertaruhkan dua pasukan iaitu TNB ThunderStars sebagai skuad utama dan TNB Thunderbolts sebagai pasukan pembangunan.
Pemilihan pemain ThunderStars merangkumi gabungan pemain elit serta bakat muda hasil program pembangunan Thunderbolts, sekali gus mencerminkan kesinambungan sistem pembangunan yang diterapkan oleh TNB.
TNB ThunderStars dijadual membuka kempen menentang Terengganu Hockey Team (THT) pada 11 April dalam aksi Piala Sumbangsih.
Sementara itu, TNB Thunderbolts pula akan memulakan saingan liga dengan pertemuan menentang UiTM HA-KPT dalam aksi pembukaan musim ini.
Sumber Gambar: Stadium Astro