HUKUMAN penggantungan kepada pemain hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn boleh disemak semula, namun ia bergantung kepada rayuan dan sikap Hanis sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersedia menyemak semula hukuman penggantungan Hanis susulan tindakannya memuatnaik komen yang didakwa bersifat perkauman baru-baru ini, namun bergantung kepada perubahan positif pemain itu yang akan dipantau dari masa ke semasa.

“Kita mungkin pertimbangkan hukuman kepada Hanis Nadiah namun itu semua bergantung kepada kelakukan dan sifatnya.

“KHM akan mengambil kira sekiranya rayuan dikemukakan oleh pihak yang terlibat khususnya pengurusan pasukan kebangsaan,” katanya.

Khamis lalu, Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM mendapati Hanis memuat naik ciapan komen yang berbaur perkauman berhubung satu konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil Januari lalu.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

Hanis Nadiah akur dan menerima dengan hati terbuka hukuman penggantungannya yang melarang dia terlibat daripada perlawanan antarabangsa.

Dalam pada itu, Najmi berkata, beliau berharap hukuman yang dikenakan kepada Hanis Nadiah itu dapat dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada atlet yang bernaung dengan KHM malah semua pihak supaya tidak bermain dengan isu perkauman.

“Walaupun kadang-kadang mereka hanya berniat untuk melawak namun perkara sensitif (isu perkauman) tidak sepatutnya dikatakan bukan sahaja atlet tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

“Jadi saya harap hukuman yang dikenakan kepada pemain itu dapat dijadikan pengajaran kepada semua supaya tidak mengeluarkan komen berbaur perkauman terutama di media sosial.”

ARTIKEL BERKAITAN :“Hanis Nadiah boleh rayu hukuman gantung” – Hannah