DENGAN hampir 1,000 kanak-kanak memulakan hari Ahad mereka dengan berlari penuh semangat di Dataran DBKL, temasya Kidslympic Malaysia 2025 secara rasmi dilancarkan semalam, menandakan komitmen serius dalam melahirkan generasi juara sukan negara bermula dari akar umbi.
Lebih istimewa, acara mega khas untuk kanak-kanak ini turut menerima suntikan kerjasama strategik daripada Affin Bank dan Watsons Malaysia yang tampil sebagai rakan utama dalam memacu pembangunan belia, pendidikan serta gaya hidup sihat menjelang penganjuran temasya pada 10 hingga 12 Oktober 2025 di Stadium PNB Merdeka Ventures, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kidslympic Malaysia, Lim Kien Wei, menegaskan bahawa Kidslympic bukan sekadar sebuah acara sukan, tetapi satu gerakan nasional. Dengan visi “Dari Padang Permainan ke Podium Kemenangan”, beliau menekankan pentingnya menyediakan platform jangka panjang untuk memperkasa kanak-kanak menerusi pendekatan holistik yang merangkumi aspek sukan, celik kewangan dan kesihatan.

Affin Bank hadir dengan inisiatif “Kids Save Smart” bagi menyemai kesedaran kewangan dari usia muda, manakala Watsons Malaysia pula memperkukuh peranan mereka dalam menyokong gaya hidup sihat melalui stesen hidrasi dan aktiviti kesihatan di lokasi acara. Kedua-dua jenama besar ini membawa misi yang seiring dalam membentuk komuniti lebih seimbang dan sihat.
Legenda badminton negara dan pengasas bersama Kidslympic, Goh Liu Ying, menzahirkan harapan agar setiap anak kecil diberi ruang menyinar. “Tak kisah sama ada mereka jadi juara atau tidak, apa yang penting ialah mereka membesar dengan keyakinan dan disiplin,” katanya.

Legenda badminton negara dan pengasas bersama Kidslympic, Goh Liu Ying
Kidslympic Malaysia 2025 bakal menyaksikan lebih 1,500 atlet cilik dari seluruh negara bersaing dalam pelbagai disiplin berkonsepkan Olimpik termasuk olahraga, renang, gimnastik, bola sepak, bola tampar, bola keranjang 3×3 dan perlumbaan halangan. Edisi perdananya yang berlangsung Disember tahun lalu menghimpunkan lebih 800 peserta.
Dianjurkan oleh Wellsport Kidslympic dengan kerjasama MyCreative Moments, acara ini turut mendapat sokongan penuh daripada KBS, KPM, DBKL dan MSWP, selain kehadiran tokoh-tokoh sukan seperti Ng Shu Wai dan Timmy Tan yang terus memberi inspirasi kepada atlet-atlet muda tanah air.
Kidslympic bukan sekadar temasya – ia adalah pelaburan masa depan untuk sukan negara.