PENJAGA gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menganggap keputusan seri menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sebagai pemanas badan terbaik sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk saingan King’s Cup.

Jelasnya, ketiadaan Farizal Marlias sebagai penjaga gol utama juga bakal membuka ruang dan peluang kepada ketiga-tiga penjaga gol menampilkan aksi yang terbaik.

Berbeza dengan corak latihan P. Maniam di PJ City FC, pemain berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu mengakui corak latihan DNA Korea lebih bersifat intensiti tinggi dan lebih mementingkan aspek build-up bagi seorang penjaga gol.

“Kita seri bersama JDT dan saya anggap itu persiapan yang terbaik bagi saya. Perbezaan di sini, jurulatih Kim Pan-gon banyakkan latihan intensiti tinggi dengan buildup bagi seorang penjaga gol.

“Ini peluang terbaik saya untuk buktikan dalam skuad kebangsaan, bila nama dipanggil. Itulah pencapaian terbaik untuk diri saya.

“Tiga-tiga penjaga gol boleh dikatakan terbaik. Ketiadaan Farizal membuka peluang kepada kami. Kami akan membuat yang terbaik sekiranya diberi peluang,” katanya sebelum latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Untuk rekod, penjaga gol berusia 27 tahun itu telah dipanggil sebanyak empat kali bersama skuad kebangsaan namun belum menjadi pilihan Pan-gon untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.