KEHADIRAN kelab gergasi bola sepak dunia, Manchester United ke Kuala Lumpur pada 28 Mei ini bukan sekadar aksi hiburan kosong, malah bakal menjadi pemangkin semangat buat pencinta bola sepak tempatan dan rantau Asia Tenggara.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dalam Maybank Challenge Cup 2025 itu sebagai “perlawanan eksibisi tidak berfaedah”, sebaliknya menegaskan ia adalah satu bentuk pendedahan berharga kepada peminat serta memberi manfaat ekonomi kepada negara.
“Saya difahamkan 30 hingga 40 peratus tiket yang dijual dibeli oleh penyokong dari negara jiran. Ini bukti nyata bahawa acara ini mampu menarik pelancong sukan, bukan sekadar untuk hiburan semata-mata,” katanya selepas sidang media eksklusif bersama legenda United, Ryan Giggs, Sabtu lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) menepis tanggapan segelintir pihak yang menganggap perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dalam Maybank Challenge Cup 2025 itu sebagai “perlawanan eksibisi tidak berfaedah”.
KJ turut menegaskan bahawa walaupun perlawanan itu bersifat pramusim atau ‘exhibition game’, ia tetap dilihat serius oleh pihak lawan memandangkan ia dijadualkan berlangsung seminggu selepas final Liga Europa dan hanya beberapa hari selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris.
“Pemain-pemain United masih dalam mood kompetitif. Mereka bukan datang bercuti. Jadi saya yakin mereka akan bermain bersungguh-sungguh dan peminat dapat saksikan aksi sebenar pasukan,” jelasnya.
Mengulas mengenai impak terhadap pemain tempatan, KJ percaya kehadiran kelab ternama seperti United mampu membakar semangat dan memberikan inspirasi baharu, walaupun belum dipastikan sama ada skuad ASEAN All-Stars nanti akan melibatkan pemain dari Skuad Malaysia atau tidak.
“Kehadiran kelab gergasi ini memberi satu rasa keterujaan. Ia akan memberi kesan positif, bukan hanya kepada Malaysia, tetapi juga kepada seluruh rantau ASEAN,” katanya.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dijangka menjadi antara acara sukan terbesar tahun 2025 di Malaysia, dengan kehadiran ribuan penyokong termasuk pelancong dari luar negara.
KJ turut mengharapkan agar penganjuran acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sekadar sebagai hiburan tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan industri bola sepak dan pelancongan sukan negara.