AKSI penuh semangat dan jiwa luar biasa ditampilkan oleh dua pasangan beregu negara apabila masing-masing berjaya menumbangkan lawan pilihan dalam pusingan awal Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2025, hari ini.

Dalam kejutan paling manis, beregu wanita negara Go Pei Kee–Teoh Mei Xing mempamerkan keberanian luar biasa untuk menewaskan gandingan berpengalaman China, Cheng Qing Chen–Wang Ting Ge dengan keputusan 21-19, 21-19 dalam masa 53 minit.

Meskipun berdepan lawan yang sarat dengan pengalaman dan reputasi dunia, Pei Kee dan Mei Xing tidak gentar, malah yakin berdasarkan pertemuan terdahulu mereka di Terbuka Jerman.

“Sebenarnya kami dah jangka akan bertemu mereka sebab dah pernah lawan sebelum ini. Tapi kali ini, kami lebih bersedia dan ada keyakinan. Walaupun ada rasa gementar, kami berjaya atasi tekanan itu. Terus terang, kami tak fikir pun boleh menang. Tapi mungkin mentaliti kami lebih kuat hari ini,” kata Pei Kee yang tampak cukup terharu.

Turut mencuri tumpuan ialah pasangan lelaki Choong Hon Jian–Haikal Nazri yang menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren–Dechapol Puavaranukkroh 21-15, 21-18 dalam tempoh 40 minit.

Haikal mengakui kemenangan tersebut menghidupkan semula semangat dan ‘api dalam diri’ yang telah lama dinantikan.

“Lepas tamat perlawanan, saya rasa macam nak menangis. Saya boleh rasa sokongan penonton, dan itu buatkan saya main dengan semangat yang membara. Rasa macam api dalam diri menyala balik,” katanya sambil menyeru penyokong tempatan memenuhi stadium untuk terus memberi sokongan kepada pemain-pemain Malaysia.

“Saya yakin. Bukan untuk saya sahaja, tapi untuk semua pemain Malaysia. Marilah ramai-ramai datang sokong kami. Habiskan tiket!” tambahnya dengan penuh emosi.

Kejayaan kedua-dua pasangan ini bukan sahaja menyalakan semangat juang pemain negara lain, tetapi juga memberi mesej jelas bahawa pemain Malaysia mampu bersaing dengan nama besar dunia, asalkan diberi kepercayaan dan sokongan berterusan daripada peminat tanah air.