DI tengah-tengah kekalutan bola sepak tempatan yang dibayangi isu penarikan diri kelab dan krisis kewangan, suara berpengalaman Raja Isa Raja Akram Shah tampil membawa nada jujur dan tegas—berhenti menyalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT), dan mulakan perubahan dari dalam.
Jurulatih berkelana luas yang pernah mencorakkan kelab-kelab utama di Indonesia itu menegaskan dominasi JDT dalam Liga Malaysia bukan punca kemelut yang melanda, sebaliknya mencerminkan kegagalan kelab lain untuk berubah dan membina asas kukuh ketika mereka berpeluang melakukannya.
“Ketika JDT mula pada 2013, mereka bukan pasukan kuat. Tapi mereka ada perancangan, ada visi. Mereka bina fasiliti, stadium, akademi. Tapi kelab-kelab lama seperti Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan—apa yang mereka buat masa mereka di puncak? Sampai sekarang stadium pun tak ada, padang latihan pun sewa,” ujar Raja Isa yang kini bersama kelab Brunei, Indera Sports Club.

Raja Isa Raja Akram Shah kini bersama kelab Brunei, Indera Sports Club.
Bagi beliau, tindakan menyalahkan kejayaan JDT hanyalah alasan yang melambatkan proses pembangunan. Tambahnya, masalah seperti tunggakan gaji yang melanda beberapa kelab bukan isu luar biasa, tetapi berpunca daripada kelemahan pengurusan sendiri.
“Saya pernah lapan bulan tak dibayar gaji di Indonesia, tapi tak ada pun kami salahkan kelab juara atau pihak liga. Ini bukan isu baharu, dan ia berlaku di banyak negara. Tapi yang penting ialah bagaimana kelab itu uruskan pasukan dengan realistik, bukan ikut cara JDT jika tak mampu.”
Dalam pada itu, Raja Isa menyelar budaya ‘kitar semula’ pemain yang terus diamalkan, serta menyeru agar lebih banyak kelab memberi peluang kepada bakat muda sebagai langkah menyelamatkan masa depan liga.

TMJ merupakan tonggak utama dalam merevolusikan Liga Malaysia serta Skuad kebangsaan di era bola sepak moden Malaysia.
“Daripada tarik diri, lebih baik kekal dengan bajet rendah dan guna pemain muda. Ini masa untuk transisi. Kalau liga mati, bukan sahaja pemain yang rugi, tapi seluruh ekosistem—penjaja, petugas stadium, vendor semua terjejas. Nak hidupkan balik liga lepas itu bukan kerja mudah.”
Teguran dan pandangan terbuka Raja Isa hadir sebagai suara peringatan dari individu yang bukan sahaja berpengalaman luas, tetapi juga memahami denyut nadi bola sepak Asia Tenggara. Dalam keadaan Liga Malaysia kini dihimpit cabaran, mungkin sudah tiba masa semua pihak berhenti menuding jari dan mula bekerja.