DALAM aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, JDT membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua dengan mempamerkan dominasi penuh apabila menewaskan KL City 4-0 di laman lawan.

Dua jaringan Ager Aketxe serta masing-masing satu gol daripada Bergson da Silva dan Oscar Arribas memastikan Harimau Selatan semakin hampir ke final Piala Malaysia.

Keputusan itu meletakkan JDT di ambang untuk mencipta rekod mara ke pentas akhir buat kali keenam berturut-turut dalam pertandingan berprestij itu.

Pengendali KL City, Risto Vidakovic menyifatkan JDT sebagai pasukan yang berada di tahap berbeza berbanding pasukan lain dalam liga.

Menurutnya, barisan pemain JDT memiliki kualiti individu yang tinggi sehingga menyukarkan mana-mana pasukan untuk menyaingi mereka sepanjang perlawanan.

Walaupun tewas, beliau tetap memuji usaha anak buahnya yang cuba memberikan tentangan terbaik dalam situasi yang cukup mencabar.

Aksi timbal balik kedua dijadual berlangsung pada 7 April  di Stadium Sultan Ibrahim, dengan KL City berdepan tugas hampir mustahil untuk bangkit.

Dalam masa sama, JDT selangkah ke final yang memperlihatkan mereka mengejar kemenangan bagi semua piala domestik di kancah bola sepak Malaysia bagi musim ini.

Sumber gambar: Instagram KL City