PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Ager Aketxe menunjukkan taring beliau ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Jurulatih JDT, Xisco Munoz turut memuji impak pemain tersebut selepas menyumbang dua gol penting dalam memburu Piala Malaysia.

“Saya juga mengenali beliau di Sepanyol. Bagaimana beliau mempunyai kebolehan mencipta gol yang sangat baik,” katanya ketika sidang media pascaperlawanan.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu menjaringkan 2 gol yang cantik bagi memudarkan harapan KL City FC untuk ke peringkat seterusnya.

“Beliau kini dilihat berada pada prestasi terbaik. Saya amat bangga dengan pencapaiannya kerana saya menjadi saksi kepada segala usaha keras yang telah beliau curahkan untuk berada di tahap sekarang.

“Dengan jadual yang padat dalam tempoh singkat, tumpuan utama kami adalah untuk memastikan para pemain berada pada tahap persediaan tertinggi bagi menghadapi siri perlawanan penting akan datang.”

Dalam perlawanan itu, selain Aketxe, Bergson Da Silva dan Oscar Arribas turut menyumbat gol bagi membantu JDT mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas KL City FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Perlawanan separuh akhir kedua JDT dan KL City akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 7 April ini bagi memburu tiket ke Final Piala Malaysia 2026.

Sumber Gambar: Instagram Rasmi Johor Darul Ta’zim FC