SELEPAS menewaskan Bahrain 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E, penyerang Korea Selatan, Son Heung-min gagal menjaringkan gol dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar.

Bagaimanapun, situasi ini tidaklah meresahkan Jurgen Klinsmann yang menyifatkan sebagai perkara normal buat pemain yang beraksi dengan kelab Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris itu.

Son menjadi harapan rakyat Korea untuk pastikan penampilan mereka kali ini di Qatar 2023 diakhiri dengan menjulang trofi.

“Ia proses biasa yang akan dilalui Sonny pada kejohanan ini, dia akan mendapat perhatian khusus.

“Dia mendapat bola dan akan ada dua atau tiga orang segera menutupnya.

“Dia mendapat pendekatan berfikiran bertahan seperti ini daripada lawan kerana dia adalah Son, dan bermain dalam Liga Perdana Inggeris.

“Tetapi Sonny tahu bagaimana untuk menangani perkara itu… dia perlu berpusing, dia perlu mencari ruang sendiri, dan dia melakukannya,” kata legenda Jerman dan pemenang Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih Taegeuk Warriors sejak tahun lalu.

Pasukan kendalian Klinsmann boleh mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan hanya sekurang-kurangnya meraih keputusan seri menentang Malaysia di Stadium Al Janoub, Doha pada Khamis.