JAGUH lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly berkongsi kegembiraan berpeluang menunaikan umrah di Tanah Suci bersama keluarganya.

Atlet kelahiran Perlis yang cemerlang di pentas Sukan Paralimpik kini ke Mekah bersama isteri tercintanya bagi menunaikan ibadah umrah,dengan tajaan penuh  Ikhlas.com dan AirAsia sebagai hadiah penghargaan membawa balik dari Paris Ogos lalu.

“Pertama sekali, Alhamdulillah dan sangat bersyukur untuk tajaan menunaikan umrah ini, ia satu peluang yang sangat bermakna dan saya sangat teruja untuk menjalani ibadah ini.

“Berpeluang ke Tanah Suci ini adalah satu motivasi besar untuk diri saya kerana memberi ruang untuk saya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan, memohon doa dan memberi motivasi untuk menghadapi cabaran sukan yang lebih tinggi pada masa hadapan,” jelasnya lagi katanya kepada FLASH SUKAN.

Abdul Latif (kanan) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (kiri) bergambar bersama peminat di KLIA2

Dalam pada itu Latif yang merangkul pingat perak ketika aksi Sukan Paralimpik Paris baru-baru ini memberitahu temasya tersebut adalah yang paling besar bagi tahun ini.

“Untuk baki tahun ini, memang tiada kejohanan, tetapi saya akan tumpukan perhatian kepada persediaan kejohanan dunia tahun depan. Ia memerlukan proses kelayakan yang panjang, jadi sebaik sahaja tahun baharu bermula, saya akan memulakan latihan untuk bersiap sedia menghadapi kejohanan itu,” jelasnya.

Sebagai tambahan, Abdul Latif turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang telah memberikan dia peluang untuk ke tanah suci ini.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Ikhlas kerana menaja saya untuk menunaikan umrah ini. Terima kasih banyak-banyak atas peluang yang begitu bermakna ini.”