PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menghormati sejarah lama rekod tidak baik Malaysia di Taiwan tetapi dia mahu melupakannya dan mencipta sejarah baharu apabila bertemu Chinese Taipei dalam aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.

Pan-gon juga mengatakan tiga mata dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Perbandaran Taipei itu adalah sangat penting jika Malaysia mahu meneruskan impian layak ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia sekaligus bersaing dengan 18 pasukan terbaik Asia.

“Sejarah adalah sejarah tetapi kami kini memiliki pasukan baharu, jurulatih baharu dan perlawanan yang baharu. Kami menghormati pasukan Chinese Taipei dan juga sejarah tetapi ini adalah masanya untuk kami cipta sejarah baharu kerana kami mempunyai impian untuk layak ke pusingan ketiga jadi esok kami perlu berjuang untuk mendapatkan tiga mata.

“Selepas mendapat keputusan yang baik di tempat sendiri, bagi kami perlawanan menentang Chinese Taipei ini adalah perlawanan paling getir buat kami kerana rekod Malaysia di sini tidak begitu baik dan Mereka juga semakin baik dan kuat di tempat sendiri. Kami hormati mereka tetapi mahu dapatkan kemenangan kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada FLASH SUKAN dalam sidang media pra perlawanan di Taipei.

Jurulatih Korea Selatan itu juga yakin yang skuad Harimau Malaya lebih bersemangat untuk menang dan layak ke peringkat seterusnya namun dia masih menghormati lawan kerana sedar mereka juga mempunyai kelebihan terutama ketika beraksi di tempat sendiri.

“Saya hadir ke sini sebagai wakil pasukan Malaysia dan kami mempunyai impian. Saya juga tahu masing-masing mempunyai sasaran yang sama untuk layak ke peringkat ketiga tetapi pasukan kami lebih bersemangat untuk menang dan mencapai sasaran itu berbanding mereka.

“Benar jika kami gagal tewaskan Chinese Taipei kami tidak layak untuk ke peringkat seterusnya. Saya tahu rekod mereka baik di sini dan dengan kehadiran pengendali baharu mereka lebih tersusun dan ini berikan tekanan besar buat kami kerana kami perlukan tiga mata tetapi bagi saya ini adalah tekanan yang positif

“Chinese Taipei juga sekarang lebih baik dengan kehadiran pemain naturalisasi dan juga yang bermain di luar negara. Mereka juga mempunyai fizikal yang baik tetapi kami sudah mempunyai semua analisis tentang pasukan ini dan akan gunakannya pada perlawanan esok dan harap dapat bantu beri tiga mata,” jelasnya.

Pan-gon juga melihat para pemainnya lebih selesa bermain dalam keadaan cuaca yang sedikit sejuk berbanding di tanah air dan menjanjikan perlawanan yang menarik untuk para penyokong dan jika boleh mahu mencatat kemenangan dengan ‘clean sheet’.

“Cuaca yang berlainan dengan lebih sejuk tetapi ianya lebih baik dari cuaca panas yang lembab dan hujan. Keadaan begini boleh bantu pemain berikan aksi lebih baik dan saya pasti perlawanan yang menarik akan berlangsung esok.

“Saya sukakan ‘clean sheet’ kerana kami bolos banyak gol sebelum ini dan ianya sesuatu yang tidak baik dan jika diberikan pilihan, saya gembira jika dapat menang 2-0, 3-0 atau 4-0,” katanya ditanya media tempatan.

Tiga mata akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam Kumpulan D sekaligus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya kelayakan Piala Dunia dan layak secara merit sekali lagi ke Piala Asia 2027.