Selepas 16 tahun menabur bakti dan mengharumkan nama negara, pemain boling kebangsaan, Ahmad Muaz Mohd Fishol mengambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.
Atlet berusia 33 tahun itu mengakui keputusan meninggalkan pasukan yang sudah menjadi sebahagian besar kehidupannya bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit sepanjang kariernya.
Ahmad Muaz tidak menafikan perjalanan sebagai atlet kebangsaan dipenuhi cabaran, termasuk ketika berdepan keraguan terhadap kemampuan diri sendiri serta kekecewaan apabila keputusan tidak memihak kepadanya.
“Ada masanya saya mempersoalkan diri sendiri, ada masanya saya berasa kecewa dan ada masanya saya tertanya-tanya sama ada saya masih mampu bertahan. Terdapat juga orang yang beranggapan zaman kegemilangan saya sudah pun berakhir.
“Namun Alhamdulillah, Allah mempunyai perancangan-Nya sendiri. Walaupun selepas sekian lama, saya masih diberi peluang untuk menang, untuk bersaing dan untuk membuktikan bahawa saya masih boleh memberikan sumbangan. Atas sebab itu, saya akan sentiasa bersyukur,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, keputusan tersebut bukan bermakna Ahmad Muaz mahu meninggalkan sukan boling sepenuhnya. Beliau menganggapnya sebagai permulaan kepada fasa baharu dalam kehidupannya selepas sekian lama beraksi di pentas antarabangsa.
“Ia akan berasa berbeza apabila tidak lagi memakai jersi itu. Tetapi satu perkara yang pasti, tidak kira ke mana sahaja kehidupan membawa saya selepas ini, saya akan sentiasa berbangga kerana saya pernah berpeluang mewakili Malaysia. Ini bukanlah pengakhiran kisah boling saya. Hanya satu lembaran baharu dalam kehidupan,” katanya.
Sepanjang kariernya, anak kelahiran Pulau Pinang itu menjadi antara tonggak penting skuad negara dan memainkan peranan dalam beberapa kejayaan bersejarah, termasuk membantu pasukan lelaki Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa di Kowloon, Hong Kong, tahun lalu.
Beliau turut menjadi sebahagian daripada pasukan trio lelaki negara yang memenangi pingat perak pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Di peringkat individu, Ahmad Muaz turut mencatat beberapa kejayaan membanggakan apabila muncul juara Terbuka Indonesia pada 2016, Terbuka Malaysia pada 2019 dan Terbuka Hong Kong 2026.
Dalam ucapan perpisahannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan, jurulatih, pengurus, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), penaja serta penyokong yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
Penghargaan istimewa turut diberikan kepada isteri dan anak lelakinya atas pengertian serta sokongan ketika beliau mengharungi pengorbanan sebagai atlet kebangsaan, selain ibu bapanya yang memperkenalkan sukan boling dan menyokongnya sejak awal.