Select Page

KPG tuntut aksi yang berkualiti, kompetitif sepanjang musim Liga Super 2023

KPG tuntut aksi yang berkualiti, kompetitif sepanjang musim Liga Super 2023

 

DEBARAN para peminat bola sepak tempatan semakin dirasai menjelang dua hari sebelum musim baharu Liga Super 2023 bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat.

Keterujaan ini juga melanda Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Kim Pan-gon yang tidak sabar untuk menyaksikan aksi Liga Super dengan beberapa objektif yang telah ditetapkan olehnya dan barisan kejurulatihan.

Pan-gon mahukan liga yang kompetitif yang mewujudkan pemain-pemain baharu untuk dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya untuk membina ‘pool’ pemain yang lebih besar sebagai persiapan ke Piala Asia.

Kim Pan-gon

“Saya tidak sabar untuk musim baharu Liga Super bermula. Saya harapkan satu musim yang berkualiti dan kompetitif serta mempamerkan permainan pantas dan pemain skuad kebangsaan akan mendapat lebih minit permainan.

“Kami akan meninjau setiap perlawanan sama ada secara langsung atau tidak dan apa yang penting adalah liga berlangsung dengan kompetitif supaya ada pemain-pemain baharu yang dapat mencabar diri untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Kami mahu fokus untuk mencari lebih banyak bakat baharu berbanding 96 pemain yang dikenalpasti pada tahun lalu dan pastinya kami mahu lebih ramai pemain dipanggil untuk skuad kebangsaan,” jelas Pan-gon.

 

Musim lalu, Pan-gon dan barisan kejurulatihan dilihat sentiasa berada di venue-venue perlawanan untuk meninjau siapa yang layak dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan terbukti berjaya apabila Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selain layak ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric.

Musim ini pula Liga Super 2023 bakal menyajikan 182 aksi yang melibatkan 14 pasukan dengan Johor Darul Ta’zim sekali lagi akan mempertahankan kejuaraan dan akan dicabar hebat beberapa pasukan yang dijangka menambah lagi kemeriahan dan tahap kompetitif liga.

Video Terkini

Loading...