HARAPAN Malaysia untuk menempah tiket ke Piala Asia B-17 2026 berakhir pilu apabila Harimau Malaya B-16 tewas 4-0 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium PVF, Hung Yen, semalam sekali gus menutup jalan skuad muda negara yang menamatkan kempen di tempat kedua.
Malaysia sebenarnya berpeluang membuka tirai jaringan seawal aksi pertama perlawanan, namun kegagalan menyempurnakan peluang itu segera dihukum Vietnam yang menjaringkan gol menerusi situasi sepakan bebas di bahagian tepi hanya dua minit kemudian. Detik itu mengubah keseluruhan momentum permainan, menurut ketua jurulatih, Javier Jorda Ribera.
“Selepas mereka menjaringkan gol pertama, semua tekanan beralih kepada kami. Vietnam menyerang balas dengan sangat efektif, dan walaupun kami menguasai bola, mereka mengawal tempo perlawanan,” kata Ribera yang mengakui pasukannya tidak dapat keluar daripada cengkaman taktikal lawan. Vietnam menambah derita Malaysia dengan gol kedua tepat sebelum tamat separuh masa.
Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dengan beberapa pelarasan taktikal dan mencipta satu lagi peluang jelas. Namun, sama seperti babak pertama, Vietnam terus memberikan respons yang mematikan. Gol ketiga yang hadir selepas itu “membunuh” perlawanan, kata Ribera, memaksa beliau membuat pertukaran untuk menstabilkan struktur pasukan walaupun peluang untuk bangkit semakin menipis.
“Kami cuba mencari gol, tetapi kami gagal memanfaatkan peluang yang ada. Vietnam pula terus menghukum kami,” jelasnya.
Kekalahan 4-0 itu menutup kempen Malaysia yang berakhir dengan empat kemenangan dan satu kekalahan rekod yang baik, tetapi tidak cukup untuk menyingkirkan Vietnam yang muncul juara kumpulan dan layak ke Arab Saudi.
Walaupun gagal mara, Ribera tetap melihat aspek positif daripada kempen ini. “Pemain bekerja keras sepanjang kejohanan dan menunjukkan persembahan yang baik sebagai satu pasukan. Kami kini memiliki beberapa bakat yang boleh dipertimbangkan untuk masa depan dan skuad umur seterusnya.”
Hung Yen menjadi saksi kekecewaan, namun juga titik tolak bagi perkembangan generasi muda Harimau Malaya. Malaysia tidak layak tetapi masa depan masih ada, dan bakat-bakat ini baru sahaja bermula.
TAMAT