KETIKA ramai meramalkan Jerman akan menjadi pemenang mutlak perlawanan menentang Jepun dalam kumpulan E, skuad Samurai Biru kekal merendah diri namun enggan mengalah.

Seperti dilaungkan seluruh pasukan yang bergelar naib juara Piala Asia itu, mereka ada ramuan mengalahkan Jerman dan keyakinan mereka diterjemahkan dengan baik apabila mencapai kemenangan pertama 2-1 ke atas lawan gergasi.

Jerman memulakan sepak mula namun, Jepun lebih dahulu mengacah gawang lawan.

Pada minit kelapan, Daizen Maeda menanduk hantaran lintang ke gawang Jerman, namun gol itu tidak dikira selepas pengadil mengesan pemain itu menolak bola menggunakan tangan.

Meskipun Jerman jarang melakukan ancaman berbahaya di kubu terakhir Jepun, masa ditunggu akhirnya tiba pada minit ke-36, apabila penjaga gol Samurai Biru Shuichi Gonda menjatuhkan penyerang lawan.

Ilkay Gundogan yang mengambil sepakan itu tidak melakukan kesilapan apabila berjaya menjaringkan gol pertama di Piala Dunia, dan juga gol ke-17 buat Jerman mendahului 1-0.

Memasuki minit ke-39, Jerman mula mendominasi permainan dengan dengan asakan bertali arus ke kubu Jepun.

Pertahanan Jepun bertambah sibuk tambahan pula dengan keyakinan pemain paling muda Jerman, Jamal Musiala sering lolos dengan gelecekannya, namun rembatannya kurang tepat.

Jerman sepatutnya selesa di depan namun jaringan kedua oleh Kai Havertz tidak dibenarkan selepas rakaman video VAR mendapati dia ofsaid.

Jerman yang menguasai 80 peratus kawalan bola pasti kecewa jika Jepun menyamakan kedudukan, kerana mahu mengelak menjadi mangsa seperti Argentina.

Bersambung babak kedua, Jerman lebih dahulu menguji gawang Jepun yang dikawal Gonda.

Thomas Mueller berjaya melarikan bola dan melorongkannya kepada Serge Gnarby namun rembatan deras pemain itu hanya menyentuh palang gol.

Gonda juga memainkan peranannya dengan cemerlang apabila menyelamatkan banyak cubaan berjaya dari Jerman.

Gol penyamaan Jepun akhirnya hadir apabila Ritsu Doan menjaringkan gol buat Jepun pada minit ke-75, menewaskan Manuel Neuer.

Jerman cuba bertindak balas mendapatkan kembali kelebihan jaringan menerusi gerakan-gerakan yang diatur namun mudah dibaca pertahanan Jepun.

Akhirnya apa yang ingin dielakkan Jerman berlaku. Neuer meninggalkan gawangnya jauh tanpa dikawal membolehkan Takuma Asano melakukan rembatan jauh dan menerjah jaring, meletakkan Jepun di depan 2-1 pada minit ke-83.

Perlawanan berlarutan ke masa tambahan apabila pengadil memberi isyarat perlawanan diteruskan untuk tempoh tujuh minit lagi namun Jerman tidak mampu mendapatkan gol dan perlawanan berkesudahan Jerman menyertai Argentina, menjadi mangsa kepada satu lagi pasukan Asia selepas Arab Saudi.