NEYMAR merintih kesakitan ketika memeriksa keadaan buku lali kanannya ketika Brazil mencapai kemenangan 2-0 ke atas Serbia.

Pemain itu kelihatan menjingkit meninggalkan padang dan tidak dapat meraikan kemenangan pasukannya.

Pemain berusia 30 tahun itu telah digantikan pada minit ke-79 perlawanan Kumpulan G Piala Dunia selepas dikasari sebanyak sembilan kali.

Pemain Serbia jelas menjadikan Neymar sasaran dengan memberi layanan “istimewa” kerana 15 pemain lain yang diturunkan jurulatih Brazil, Tite secara  purata hanya dikasari tiga kali.

Menerusi tiga kesalahan melakukan kekasaran ke atas Neymar, pengadil perlawanan dari Iran, Alireza Faghani melayangkan kad kuning kepada Sasa Lukic, Nemanja Gudelj dan Strahinja Pavlovic.

Menerusi sebuah akaun Twitter ‘Squawka’, mereka membuat analisa Neymar dikasari sembilan kali pada perlawanan pertama Piala Dunia 2022 ketika menentang Serbia awal pagi tadi.

Manakala pada kempen Piala Dunia 2018, Neymar dikasari 10 kali kali pada perlawanan menentang Switzerland.