HANYA perancangan rapi dari setiap sudut mampu disandarkan skuad futsal kebangsaan dalam misi menempuh laluan berduri di Kelayakan Piala Asia Futsal 2026, September ini.
Ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam menyifatkan undian Kumpulan G yang menemukan Malaysia dengan kuasa besar Asia, Iran, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh, sebagai satu ujian “berat” buat anak buahnya.

“Tiada laluan mudah. Iran bukan saja nombor satu Asia, malah pencabar utama kejuaraan. UAE pula semakin menunjukkan kemajuan konsisten, manakala Bangladesh walaupun kurang dikenali, tetap perlu diberi perhatian,” katanya.

Mengikut ranking dunia FIFA, Iran berada pada kedudukan kelima dunia, Malaysia 76, UAE 97 manakala Bangladesh tidak memiliki ranking ketika ini.

Menurut Rakphol, aspek paling penting bukan hanya kekuatan lawan tetapi tahap kesiapsiagaan pasukan sendiri yang akan menentukan nasib mereka.

“Tempoh sekarang amat kritikal untuk kami kenal pasti kekuatan dan kelemahan lawan, serta rancang strategi terbaik supaya pasukan kita dapat beraksi di tahap maksimum,” tegasnya.

Lebih istimewa, kempen kelayakan itu bakal berlangsung di laman sendiri, Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, dari 20 hingga 24 September, yang kali terakhir menyaksikan aksi antarabangsa pada Sukan SEA 2017.

“Kami harap penyokong tempatan turun beramai-ramai memberi semangat. Sokongan padu dari penyokong mampu jadi pemangkin semangat pemain untuk berjuang habis-habisan,” katanya penuh semangat.