“JADI pengkritik, bukan pencetus drama.” Itu teguran pedas Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Yap Yee Vonne, kepada Neow Choo Seong daripada MCA yang mendesak YB Hannah Yeoh meletakkan jawatan atas isu dalaman bola sepak kebangsaan.
Menurut Yee Vonne, kenyataan Neow bukan sahaja beremosi dan dangkal, malah menggambarkan kejahilan terhadap sistem sukan moden yang menghormati autonomi persatuan. Katanya, sukan negara bukan lagi dikendalikan dengan gaya lama ‘menteri arah, semua ikut’.


“Neow nak Menteri jadi jurulatih, pengurus dan mungkin sekali atlet? Maaf, era menteri ‘semua boleh buat’ sudah berlalu,” tegas Yee Vonne, di akaun Facebook peribadinya.
Beliau menegaskan bahawa isu dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah tanggungjawab badan itu sendiri mengikut statut FAM dan FIFA yang jelas menolak campur tangan politik. Malah, Neow selaku bekas pengurus pasukan seharusnya lebih arif tentang perkara itu.
Yee Vonne turut memaklumkan bahawa KBS di bawah Hannah telah menubuhkan Jawatankuasa Pertikaian Sukan, saluran rasmi menyelesaikan isu tanpa campur tangan terus ke dalam pengurusan badan sukan. “Kalau semua nak Menteri selesaikan, bubar saja persatuan, serah pada Putrajaya,” sinisnya.


Beliau menempelak Neow yang mendakwa tiada pencapaian dalam sukan negara, sambil menyenaraikan deretan kejayaan, termasuk kejuaraan badminton Asia, juara dunia boling padang dan sepaktakraw, serta Hakim Danish yang mencipta sejarah di Eropah.
“Kami di KBS tak cari kamera waktu trofi diangkat, tapi kami ada dari peringkat akar umbi hingga podium. Jangan hina kerja keras atlet dengan fakta malas,” tegas Yee Vonne lagi.
Katanya, pembaharuan dasar seperti kontrak berbayar MSN dengan caruman KWSP dan PERKESO adalah antara bukti komitmen Hannah Yeoh yang jauh lebih berprinsip daripada aksi politik murahan. “Kalau tak faham struktur sukan, lebih baik diam,” sindir Yee Vonne.