PENGURUSAN atlet olahraga negara disarankan tidak hanya bergantung kepada sistem latihan berpusat (centralized), sebaliknya mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel melalui zon latihan desentralisasi mengikut wilayah tertentu.

Pemerhati sukan olahraga, Azrail Khaidir atau lebih dikenali sebagai Mike berkata, model desentralisasi lebih inklusif dan praktikal, terutama bagi atlet dari Sabah, Sarawak selain pengkelasan zon utara, timur dan selatan yang menghadapi kekangan logistik dan kekeluargaan.

“Tak semua ibu bapa sanggup lepaskan anak (remaja) jauh dari rumah. Jadi kalau ada zon latihan misalnya di utara, selatan, tengah dan Borneo, kita boleh tarik lebih ramai bakat,” katanya kepada Flash Sukan.

Azrail Khaidir yakin, dengan wujudnya zon latihan yang mempunyai sistem sokongan yang lengkap dapat membantu melahirkan lebih ramai atlet dan mewujudkan persaingan lebih sihat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap zon latihan wajib dilengkapi fasiliti setaraf di Institut Sukan Negara (ISN) meskipun tidak lengkap, terutama kemudahan pemulihan seperti ais mandi dan pengawasan perubatan bagi mengelak kecederaan berulang yang sering berlaku akibat kekurangan rawatan susulan.

“Ramai atlet cedera, belum pulih sepenuhnya tapi dah dihantar bertanding semula. Kita perlukan pasukan medik yang boleh beri pandangan neutral dan bantu pelatih buat keputusan lebih selamat,” ujarnya.

Sabah, Sarawak antara negeri yang mempunyai potensi tinggi melahirkan atlet olahraga bertaraf antarabangsa.

Beliau juga melihat, tidak semua atlet serasi dengan jurulatih di pusat latihan utama, justeru peranan jurulatih negeri perlu terus diberi ruang dalam pembangunan atlet, dengan pendekatan latihan campuran, latihan di zon dan kem berpusat secara berkala.

“Kita boleh buat centralized setiap dua atau tiga bulan, bawa atlet dan jurulatih ke pusat untuk refresh semula ilmu dan guna fasiliti terbaik. Jangan tunggu kejohanan besar baru nak kem,” katanya, sambil merujuk kepada beberapa kes melibatkan jurulatih negeri enggan melepaskan atlet ke Kuala Lumpur.

Tambah Mike, model desentralisasi ini hanya akan berjaya jika ada perancangan rapi, sistem pemantauan prestasi berasaskan keputusan, serta sokongan kewangan bukan hanya daripada kerajaan, malah inisiatif sendiri oleh persatuan negeri.