KHIDMAT Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard tidak akan disambung selepas kontraknya tamat pada 31 Julai ini, sekali gus menamatkan kerjasama dua tahun yang menyaksikan pelbagai perubahan dalam struktur kejurulatihan dan pembangunan atlet negara.

MA dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor kekangan kewangan, selepas berdepan pengurangan peruntukan kerajaan selain kesukaran mendapatkan tajaan swasta bagi meneruskan program latihan berprestasi tinggi.

“Olahraga Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Robert Ballard atas komitmen dan sumbangan beliau sejak menyertai MA pada 2023. Kami mendoakan beliau terus berjaya dalam kerjaya akan datang,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh dua tahun, Ballard yang juga bekas jurulatih berprofil tinggi dari Australia memainkan peranan penting dalam menaik taraf sistem latihan, pemantauan data atlet, dan memperkenalkan pendekatan saintifik dalam persediaan atlet ke kejohanan antarabangsa.

Beliau turut terbabit dalam menyelia kem latihan luar negara, pemilihan jurulatih baharu dan membentuk struktur teknikal yang lebih sistematik bagi acara balapan dan padang negara, khususnya menjelang temasya besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Kelayakan Olimpik.

Difahamkan, keputusan untuk tidak menyambung kontrak Ballard turut dibuat selepas penilaian dalaman terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan, selain fokus MA ketika ini adalah untuk memastikan kesinambungan program pembangunan atlet tempatan secara mampan.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai calon pengganti Ballard namun sumber dalaman tidak menolak kemungkinan peranan itu akan digalas jurulatih tempatan secara interim bagi menghadapi Kejohanan Asia Tenggara (SEA Championship) hujung tahun ini.