MENTERI Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi ganjaran RM10,000 kepada setiap pemain Selangor FC atas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

Insentif khas dengan nilai keseluruhan RM229,500 disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Hotel Marriott Putrajaya dekat sini, pada Jumaat malam.

Amirudin berkata sumbangan itu diyakini menyuntik semangat baharu kepada skuad The Red Giants untuk merampas kembali piala berprestij yang kali terakhir dirangkul pada 2015.

“Insya-Allah jika mereka berjaya membawa Piala Malaysia, saya akan cukupkan RM50,000 kepada setiap pemain dan pegawai bertugas sepanjang perlawanan ini.

“Saya harap ganjaran ini memberi motivasi kepada pemain untuk merampas kemenangan Piala Malaysia yang sudah sekian lama tidak sampai di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

The Red Giants dalam misi mengejar kejuaraan Piala Malaysia ke-34 mereka apabila layak ke final musim ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Norita Mohd Sidek, CEO Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Sementara itu, Norita mengharapkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menampilkan aksi terbaik untuk melakar kejayaan manis buat Selangor.

“Ini adalah suatu pertandingan yang dinanti-nantikan untuk menjaga maruah kita di Selangor. Jika berjaya (rangkul piala), sudah tentu akan menjadi kejayaan manis dan bermaruah,” katanya.

Dalam aksi separuh akhir kedua 22 November lalu, Selangor FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2 selepas menumbangkan Terengganu FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selangor FC bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.