PEMAIN tengah Sri Pahang FC, David Rowley menganggap jaringan yang dibuat di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi perlawanan antara Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu perkara unik.

Ini kerana gelanggang JDT jarang sekali dibolosi oleh jaringan daripada pihak lawan, dan David menjadi antara pemain bertuah yang dapat menggegarkan gawang pasukan gergasi berkenaan walaupun kalah 1-3 kepada JDT.

David yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi Liga Super Selasa lalu sekali gus telah meraih keyakinan dan semangat baharu bagi membantu pasukannya untuk meledak lebih banyak gol.

“Sudah tentu ia menjadi satu detik bermakna apabila dapat menjaringkan gol menentang pasukan yang hebat. Tidak ramai yang berhasil untuk menjaringkan gol di stadium berkenaan dan ia sesuatu yang istimewa.

“Jaringan itu membantu menaikkan lagi momentum dan semangat saya untuk bermain. Saya juga mahu diberi peluang untuk mendapat minit permainan lebih banyak terutama selepas jaringan berkenaan.

“Memandangkan minit permainan saya untuk musim ini kurang dari 180 minit, tetapi saya yakin saya telah lakukan yang terbaik,” ujar David.

Pemain berusia 34 tahun itu bertekad untuk membawa perubahan serta kemajuan kepada pasukan, dan tidak berhenti berusaha untuk mendapat kepercayaan lebih daripada ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad.

Dia dalam masa yang sama turut beranggapan bahawa Fandi mempunyai rencana yang lebih baik dengan memasukkan dirinya pada aksi penghujung perlawanan, sekali gus berharap agar terdapat peluang jaringan yang terhasil.

Kali terakhir David berjaya menjaringkan gol adalah pada aksi Liga Super antara Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim yang berlangsung pada 27 Ogos lalu.