PERSEORANGAN lelaki utama negara, Lee Zii Jia mengesahkan, tidak akan bersama pemain dalam skuad Piala Thomas ke kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bermula esok.
Team LZJ dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia akan melakukan persiapan mengikut program latihan yang sudah diatur ketua jurulatih pasukan, Wong Tat Meng.
“Selepas tiba di Malaysia pada Ahad sebaik tamat Kejohanan Badminton Asia, Zii Jia sudah pun memulakan persiapannya bagi menghadapi Piala Thomas pada Isnin.
“Program latihan yang disusun oleh Tat Meng akan mempersiapkan Zii Jia untuk beraksi pada tahap terbaiknya ketika saingan Piala Thomas termasuklah lima kejohanan yang akan disertainya selepas itu.
“Program latihan yang berasingan daripada pasukan Piala Thomas sudah dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disokong oleh pengarah kejurulatihan badan induk itu, Rexy Mainaky dan pengarah pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Michelle Chai.
“Kami berterima kasih kepada BAM dan Michelle kerana memahami dan kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk menyusun program latihan dalam tempoh jadual kejohanan yang padat ini menjelang Sukan Olimpik Paris.
“Zii Jia tidak sabar untuk menyertai skuad pada 24 April ini,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut, Rexy berkata: “Saya dimaklumkan mengenai perancangan ini ketika kali pertama mengadakan pertemuan dengan Tat Meng dan Lee Zii Yii (pengurus Team LZJ).
“Mereka memaklumkan kepada saya yang mereka hanya ada seminggu untuk melakukan persiapan selepas pulang daripada BAC, jadi kita perlu menyesuaikan keadaan ini.
“Kami faham Piala Thomas tahun ini berlangsung sama tahun dengan Sukan Olimpik, tetapi komitmen mereka juga adalah untuk bermain di Piala Thomas,” kata Rexy.
Ditanya jika mempunyai perancangan untuk membawa pemain menjalani kem bina semangat luar dari Kuala Lumpur, Rexy berkata: “Ia hanya akan lebih berkesan jika kita ada seluruh ahli pasukan.
“Jika ada seorang atau dua pemain tiada, ia bukan perancangan yang baik,” katanya.
Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.