BEKAS naib juara STL Division 1 musim lalu, Bomba Fighters membuka kempen STL Division 1 musim baharu dengan cemerlang selepas menewaskan PSM-SSM Mavericks sebentar tadi.

Bomba Fighters yang dibarisi Apinann Promjaree selaku tekong, Mohamad Shahrul Ishaqdin di posisi apit kanan dan Mohd Syazreenqamar sebagai apit kiri bermula garang apabila menguasai set pertama 15-6.

PSM-SSM Mavericks yang mempertaruhkan skuad muda berusia 18 tahun ke bawah menerusi Zamy Khussry mengisi posisi tekong, Muhammad Zafri di posisi apit kanan dan Zulkhairy Ahmad Sabry sebagai apit kiri, cuba bangkit merapatkan jurang.

Bagaimanapun, Bomba Fighters terus mengekalkan momentum untuk mengatasi Mavericks 15-10 pada set kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Bomba Fighters kini mendahului Kumpulan C selepas mengharungi aksi pertama kempen STL Division 1 musim ini.

Dalam pada itu, dalam perlawanan pembukaan B, Sabah Mountainers kini mendahului carta kumpulan selepas menewaskan Malaysian Uni. Knights dengan 2-0.

Sabah Mountainers yang dibarisi Irwanizam Seruji di posisi tekong, yang membuat penampilan sulung di pentas STL, bersama Suwicha Tala sebagai apit kanan dan ketua pasukan, Wan Mohammad Zulhakim di posisi apit kiri, bermula baik apabila berjaya menguasai set pertama 15-8.

Pasukan lawan, Malaysian Uni. Knights yang dibarisi Muhammad Syafi Haziq di posisi tekong, Khairul Hafifi sebagai apit kanan dan ketua pasukan, serta Muhammad Haikal Huzaimi di posisi apit kiri, cuba mengheret perlawanan ke set ketiga, namun terpaksa akur selepas tewas 15-10.

Sabah Mountainers selepas ini akan berusaha mempertahankan kedudukan di puncak Kumpulan B apabila dijadualkan bertemu Perlis Vipers esok pada jam 4 petang.

Sementara itu, PSM-SSM Mavericks akan cuba memburu mata apabila berdepan Terengganu Turtles yang bakal membuka tirai kempen musim baharu, esok pada jam 2.30 petang.