PENDATANG baharu dalam saingan Liga A1 Semi- Pro 2024/25, PT Athletic FC tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada musim pertama penyertaan.

Mengakui cabaran getir bakal diharungi, kelab yang berpangkalan di Putrajaya ini tetap merendah diri memandangkan mereka masih baharu dalam saingan yang disertai 14 pasukan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif PT Athletic FC, Ayrzawiyah Ab Rahman berkata, setiap pasukan yang bertanding pastinya mempunyai sasaran masing-masing.

“Begitu juga dengan kami kelab yang masih baharu apapun saya mahupun semua pemain yang diturunkan beraksi memberikan sepenuh semangat dan komitmen sepenuhnya untuk memastikan kemenangan,” katanya pada majlis memperkenalkan jersi dan pemain PT Athletic FC di Putrajaya.

Tambahnya lagi, idea penubuhan PT Athletic FC adalah ingin melihat bakat-bakat muda khususnya di Putrajaya mempunyai ruang untuk mengembangkan karier.

“Idea ini tercetus selepas perbincangan bersama diadakan apabila kita melihat seharusnya perlu ada sebuah kelab yang boleh dijadikan landasan untuk pemain-pemain muda berbakat beraksi,” tegasnya yang turut memaklumkan Stadium MMU Cyberjaya sebagai gelanggang tuan rumah.

Mengulas mengenai penaja utama pasukan iaitu PAG, Ayrzawiyah yakin kerjasama yang terjalin akan memastikan kejayaan pasukan.

Ujarnya, PAG adalah syarikat bumiputera yang bertapak lebih 10 tahun di Malaysia yang pakar dalam menguruskan kewangan.

“Syarikat (PAG) ini juga komited dalam membantu syarikat-syarikat Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) untuk mengembangkan perniagaan dan pada masa sama membantu dalam aspek kewangan”, tegasnya.

Berdasarkan jadual perlawanan Liga A1 Semi Pro 2024/25 yang dikeluarkan Amateur Football League (AFL), PT Athletic FC hanya akan beraksi pada perlawanan minggu kedua menentang Bukit Tambun FC di Stadium MMU, Cyberjaya, 8 Jun nanti.