PASUKAN Melaka FC berjaya memintas Imigresen FC di puncak Liga A1 Semi-Pro selepas menewaskan UiTM United dengan keputusan 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam Sabtu malam.
Permainan yang agak perlahan ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan sepanjang 30 minit pertama perlawanan apabila tidak banyak gerakan berbahaya dicipta namun ia bertambah rancak dalam baki 15 minit terakhir separuh masa pertama.
Luqmanul Hakeem Norizam terlepas peluang untuk meletakkan pelawat di depan pada minit ke-31 selepas rembatannya dari luar kawasan penalti sedikit melewati palang gol UiTM United.
Selang tiga minit kemudian menyaksikan giliran UiTM United menyerang apabila Zikry Mohd Hafis berjaya melepasi kawalan tiga pemain Melaka FC namun percubaannya dari dalam kawasan penalti tepat ke dakapan penjaga gol Melaka, T. Shaheeswaran.
Jaringan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-37 apabila lontaran ke dalam kapten Melaka FC, Nasir Basharuddin tepat kepada Abdul Azim Rahim yang kemudiannya melepaskan satu rembatan kuat menerjah gawang UiTM.
UiTM United terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila percubaan Ahmad Haikal Haziq ditepis keluar Shaheeswaran, tiga minit sebelum rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan skuad kendalian K.Devan terus mengasak untuk memburu gol kedua.
Usaha Melaka FC mencari gol kedua berhasil pada minit ke-70 selepas penyerang import, Fusseni Issah menyempurnakan hantaran pemain gantian, Nizaruddin Jazi untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Nasir terus menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga apabila melepas rembatan kencang dari luar kawasan penalti ketika penjaga gol UiTM FC hanya sekadar memerhati.
Anak buah K. Devan berjaya mengekalkan kedudukan 3-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Melaka FC kembali ke puncak liga, memintas Imigresen FC menerusi perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan mengutip 16 mata dalam enam perlawanan.