Terengganu FC tampil memberikan penjelasan berhubung isu sekatan perpindahan yang sedang hangat diperkatakan, sambil menegaskan kelab itu telah melaksanakan tanggungjawab secara profesional serta mematuhi segala prosedur perundangan bola sepak antarabangsa.
Dalam satu kenyataan rasmi semalam, Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuat sebahagian pembayaran kepada bekas pemain import, Ivan Mamut sebagai tanda komitmen untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara teratur.
Menurut kenyataan itu, baki bayaran akan dijelaskan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan proses berkenaan kini berada di bawah kawalan serta pemantauan rapi pihak pengurusan kelab.
TFCSB turut memaklumkan bahawa bukti pembayaran telah dihantar kepada pihak pemain dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan lanjut.
Kelab berkenaan menegaskan akan akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa serta kekal komited untuk bertindak secara telus dan profesional dalam setiap urusan yang melibatkan kelab.
Dalam masa sama, TFC memberi jaminan akan berkongsi perkembangan terkini sebaik sahaja menerima keputusan rasmi daripada FIFA selepas proses penyelesaian itu dimuktamadkan.