PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan sentiasa menjaga kebajikan para pemainnya dan juga mana-mana pemain yang bernaung di bawah Liga Malaysia.

Dia sentiasa cakna dengan masalah yang dihadapi pemain dan juga sentiasa menghargai segala usaha yang telah dilakukan pemain Harimau Selatan sejak dia mengambil alih kelab itu pada 2013.

Menjelang aksi penentuan kejuaraan Liga Super ke-10 berturut-turut buat JDT, Tunku Ismail meluangkan masa meninjau sesi latihan yang dikendalikan ketua jurulatih, Esteban Solari di Pusat Latihan JDT selain melakukan kejutan buat pemain import sensasinya, Bergson Da Silva.

Dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC pada Sabtu, Bergson telah mencipta rekod baharu kelab dengan menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol sejak mula menyertai JDT pada 2021.

Penyerang berbisa Brazil itu juga turut meledak gol ke-101 peribadinya buat Harimau Selatan ketika membantu JDT menewaskan Negeri Sembilan FC 4-1 untuk layak ke separuh akhir dengan aggregat 7-1.

Tunku Ismail menghargai usaha dan kerja keras Bergson dengan menghadiahkannya jersi istimewa JDT sebagai tanda penghargaan buatnya yang menjadi satu-satunya pemain yang berjaya sampai ke tahap itu.

 

Turut bersama Tunku Ismail dalam penyerahan jersi istimewa itu adalah Esteban Solari yang pastinya mahu ayam tambatannya itu meledak lebih banyak gol dalam tiga kejohanan yang sedang mereka sertai — Liga Super, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC.