FOTO : KDA FC

KEDAH akan kembali ‘bersarang’ di Stadium Darul Aman untuk menghadapi dua perlawanan Liga Super wajib menang bermula bertemu PJ City FC pada Sabtu.

Kemudian berdepan pula gergasi liat tanah air, Johor Darul Ta’zim, 4 Oktober ini.

Sang Kenari mula mempamerkan kebangkitan dalam tiga perlawanan lalu apabila menang kesemua aksi dan perkembangan ini sememangnya melegakan hati peminat setia pasukan itu.

Adakah rentak itu bakal dikekalkan ? Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan jurulatih Aidil Sharin Sahak menyusun skuad terbaik meskipun suasana pasukan sedikit ‘terganggu’ dengan spekulasi kemasukan pengendali baharu yang dicetuskan netizen di laman sosial.

Kedah yang pada awal musim dilabel pencabar utama liga sedikit layu, namun kemasukan dua tenaga import dilihat menambah kekuatan dalaman.

Kempen yang digerakkan Kedah Darul Aman FC untuk menarik minima 10,000 penyokong setiap perlawanan di Darul Aman mula menambat perhatian penyokong negeri itu.

Walaupun ada kedengaran suara sinis, tetap ada juga yang berikan kata-kata positif.

“Semakin hampir, cabaran lima perlawanan dalam dua minggu akan bermula Sabtu ini!

Keep hustling Sang Kenari,” demikian coretan di Facebook KDA FC.


Berbeza dengan PJ City, kejayaan mengikat Harimau Selatan dalam saingan terakhir sebelum liga berhenti menjadi keazaman anak buah P Maniam melakar kejutan di Alor Setar.

Ada kemungkinan besar pemain The Phoenix yang berstatus lokal 100 peratus masih terbawa-bawa semangat bertemu JDT untuk diperagakan berdepan Kedah yang mula menyengat di penghujung kempen.

Namun begitu, rekod pertemuan dalam lapan perlawanan terakhir PJ City tidaklah begitu baik apabila hanya mampu seri dua kali dan selebihnya kehilangan mata kepada pasukan lawan !