LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menyatakan pihaknya akan menentukan nasib kedudukan pasukan Kedah Darul Aman FC selepas mendapat maklumat tambahan daripada pihak kelab pada 5 Mac ini.
MFL pada awalnya menetapkan tarikh akhir pada 29 Februari namun telah memberi mereka masa tambahan hingga 5 Mac, jika tidak, mereka berkemungkinan diturunkan ke Liga MBSB Bank Championship (M3) akibat gagal membuktikan pembayaran gaji kepada pemain.
Menurut Stuart, pihaknya tidak akan terburu-buru untuk membuat keputusan ini kerana bimbang jika ianya dibuat, pihak yang akan rugi adalah para pemain dan MFL mahu memastikan perkara ini tidak berlaku.
“Kami akan maklum mengenai kedudukan KDA selepas mereka serahkan maklumat tambahan 5 Mac ini dan maklumat yang diberi kalau memuaskan ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa First Instance Body (FIB).
“Macam mana pun kita perlu melihat bukti yang kelab itu akan mendapat dana terlebih dahulu kerana jika kita menutup satu pasukan, kita menutup cara untuk selesaikan masalah ini.
“Pihak paling rugi pastinya pemain yang tidak dapat gaji beberapa bulan dan waktu kita lihat bayaran boleh dapat, kita tutup. Kita perlu praktikal dalam situasi ini dan bukannya semata-mata untuk kita ambil keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Road To Gold di Bukit Jalil pada Khamis.
Kenyataan ini dibuat selepas pihak KDA telah mengeluarkan kenyataan media yang mengatakan mereka sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana namun ianya hanya akan diterima pada bulan April 2024.
KDA dalam kenyataan yang sama turut berkata pihak mereka ketika ini sedang sedaya upaya mencuba untuk mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai pasukan.
Stuart turut berharap Sang Kenari dapat menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin dan memuaskan FIB sebelum sebarang keputusan dapat diambil dan dapat bersaing dalam Liga Super 2024-25.