PERAK FC mengumumkan Hadi Fayyadh Abdul Razak sebagai ‘senjata baharu’ The Bos Gaurus bagi saingan Liga Malaysia 2023.

Pemain yang pernah beraksi di Liga J3 bersama Azul Claro Numazu itu mengikat kontrak selama dua tahun opsyen lanjutan setahun di bawah regim Lim Teong Kim.

Pengesahan ini dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Samsudin semasa dalam sidang media Majlis Pelancaran Jersi Baharu Musim 2023 di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat.

Perak FC memperkenalkan jersi baharu pasukan Liga Super 2023 yang akan membuka tirainya pada 24 Februari depan.

 

Jelas Bobie, proses memujuk Hadi Fayyadh untuk menyertai pasukan mengambil masa yang lama sebelum pemain kelahiran Ulu Bernam berusia 22 tahun itu bersetuju pulang ke tanah air dari kelab Jepun.

“Hadi Fayyadh kita cuba tak dapat pada awalnya. Tetapi rezeki dengan kemasukan jurulatih Lim Teong Kim, dia setuju datang ke Perak. Kami ambil masa dua, tiga bulan juga untuk meyakinkan Hadi Fayyadh.

“Harapan saya agar dia akan bagi sedikit keyakinan kepada kami dan Perak. Moga penyokong terus bagi sokongan berterusan kepada pasukan tahun ini,” katanya menyasarkan aspek pembangunan pemain muda diberi peluang bermain.

Ketika ditanya berapa anggaran perbelanjaan perjalanan pasukan The Bos Gaurus musim ini, Bobie menyatakan jumlah berhemah adalah mencecah RM15 hingga RM20 juta.

“Tahun ini dengan peraturan baharu dari pihak MFL, di mana kita terpaksa mengadakan pasukan B-23, B-20 dan B-17 dan kena ada empat pasukan. Jumlah itu masih rendah dibandingkan pasukan lain tapi kita kena realistik.

“Untuk tahun pertama kita tak boleh berbelanja terlalu besar dan kami tidak akan mengikuti pasukan lain berbelanja besar,” katanya.

Hadir sama, pemain berpengalaman yang juga kapten pasukan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan puluhan penyokong setia Seladang.

 

Sementara itu, Hadi Fayyadh yang beraksi untuk skuad bola sepak Malaysia B-23 di Sukan Sea Vietnam 2022 menjelaskan punca sebenar dia memilih Perak sebagai kelab baharu.

“Perak tempat saya lahir dan membesar. Ini rumah saya. Saya berterima kasih jurulatih Lim Teong Kim dan Bobie yang bersusah payah mendapatkan saya sampai jadi dan ia mengambil masa yang agak lama.

“Alhamdulillah, saya bersama keluarga Perak FC dan saya akan lakukan yang terbaik. Saya nak membantu Perak untuk bangun balik. Kita tahu Perak adalah satu pasukan yang sangat bagus satu ketika dahulu.

“Saya percaya kita akan dapat lakukan lagi dan ia akan ambil sedikit masa. Saya yakin ia akan menjadi lagi,” ujarnya.