KETUA jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menghormati pasukan lawan, Kuching City FC yang di anggap antara pencabar utama kepada mereka apabila bakal berdepan dalam aksi Liga Super, Ahad ini.
Pertembungan ini pastinya akan menjadi tumpuan para penyokong dan dijangka akan lebih hangat apabila mereka juga akan turut berdepan lawan sama bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia, April depan.
Pan Gon bagaimanapun sedar kekuatan Kuching City ketika ini tidak boleh dipandang mudah dan mereka perlu menebus semula kekalahan Selangor FC di Stadium Negeri, September lalu apabila tewas 0-1 kepada anak buah Aidil Sharin Sahak itu.
Apatah lagi, dengan beberapa kehadiran pemain baharu yang digeruni seperti Gabriel Palmero dan Jerome Etame yang tidak menunggu lama untuk membuktikan kredibiliti mereka di atas padang pastinya bakal memberi pelbagai kejutan untuk pertembungan ini.
“Ya, ia akan menjadi perlawanan yang menarik sebab nanti kita akan jumpa lawan sama di separuh akhir.
“Tapi untuk aksi liga, saya sedar Kuching City memang antara pasukan terkuat sekarang dalam Liga Super.
“Saya dengan rendah diri turut menanti untuk perlawanan menentang mereka Ahad ini dan apa pun, saya sentiasa menghormati Kuching City dan kita akan cuba yang terbaik nanti,” jelasnya.
Kali terakhir Selangor FC menang ke atas Kuching City adalah pada musim 2024-2025 di pentas Liga Super dan mereka ketika ini hanya dibezakan 1 mata menyaksikan Selangor di tangga kedua dengan 32 mata manakala Kuching City di kedudukan ketiga.