ORANG ramai digesa tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian samun dan pukul membabitkan pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, siasatan pihaknya kini lebih tertumpu kepada jenayah samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Menurut beliau, siasatan lanjut melalui keterangan mangsa, saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menolak kemungkinan kejadian itu didalangi lebih dua orang suspek.
Azli berkata, pihak polis juga telah menggerakkan unit daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengenalpasti suspek terlibat.
“Kita telah merakam percakapan mangsa sekali lagi, semalam, dan menurut Akhyar, (sekali imbas) suspek disyaki menaiki kereta Honda City tetapi tidak dapat mengecam warna atau nombor pendaftaran.
“Mangsa juga mendakwa melihat dua orang suspek keluar dari pintu belakang kereta itu dan seorang lagi dari pintu hadapan.
“Setakat ini siasatan lebih menjurus kepada kes samun, jadi kita harap orang ramai tidak buat spekulasi penglibatan mangsa atau motif kejadian ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Akhyar Rashid mengalami kecederaan selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
Tambah beliau lagi, pihak polis berusaha keras mengenalpasti suspek setelah pemeriksaan CCTV di lokasi kejadian gagal menemukan kenderaan milik suspek.
Pihaknya bagaimanapun telah menggandakan rondaan di kediaman didiami pemain Harimau Malaya itu selain laluan disyaki dilalui suspek bagi memburu dalang yang terlibat.
“Kita juga sudah mengambil keterangan pengadu iaitu kakak mangsa serta seorang penghantar makanan e-hailing yang paling awal membantu mangsa di tempat kejadian,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam Khamis lalu, Akhyar terpaksa menerima enam jahitan di kepala dan kaki setelah menjadi mangsa pukul dan samun individu tidak dikenali di perkarangan sebuah apartment.
Kejadian itu jelas merencatkan persiapan TFC menghadapi sepak mula Liga Super 2024/25 yang akan bertemu Perak pada aksi pembukaan di laman sendiri pada 11 Mei nanti.