SELEPAS kecewa dengan kekalahan di final Piala FA ke atas Johor Darul Ta’zim pada Sabtu, Terengganu FC kembali dalam saingan Liga Super menentang Penang FC di Gong Badak dalam misi memperbaiki kedudukan dalam liga.
Kejayaan JDT muncul juara Piala FA menyebabkan slot ke Asia kini menjadi milik pasukan tempat kedua dan ketiga liga dengan Terengganu pastinya mahu mengejar slot ini untuk bermain di kancah Piala AFC musim hadapan.
Lawan yang bakal dihadapi pula adalah pasukan yang sedang dalam keadaan bergelut dengan prestasi apabila masih gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut untuk berada di tangga terbawah liga.
🏴🏳️ PERLAWANAN SETERUSNYA #LIGASUPER2022 : TERENGGANU FC VS PENANG FC 🏴
TERENGGANU FC VS PENANG FC
📆 14 September 2022 – Rabu
⏰ 9.00 pm
🏟 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/HMKDtqdsFh— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 12, 2022
Namun, Terengganu perlu berhati-hati kerana kemenangan terakhir pasukan Harimau Kumbang dalam Liga Super adalah ketika menentang Terengganu pada Jun lalu.
Nafuzi Zain sudah pasti mahukan anak-anak buahnya melupakan kekecewaan dan bergerak ke hadapan bagi menghadapi perlawanan yang sangat penting untuk merapatkan jurang dengan pasukan tempat ketiga, Negeri Sembilan FC.
Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan skuad Peteh untuk meraih tiga mata dan meneruskan rentak cemerlang dalam liga apabila memenangi empat perlawanan berturut-turut.
Dengan tiga pemain, Faisal Halim, Azam Azmi Murad dan Rahadiazli Rahalim yang dipanggil ke skuad kebangsaan, sudah pasti ianya akan menambah semangat mereka untuk memberikan aksi terbaik membantu Terengganu memperolehi tiga mata penuh.

Rafael Vitor dan Lucas Silva
Penang yang masih mencari kemenangan sudah pasti mahu melakar kejutan di Gong Badak selepas berjaya melakukannya di Bandaraya sebelum ini dengan Datuk Zainal Abidin Hassan akan tampil dengan taktikal untuk memerangkap Terengganu.
Penang masih mempamerkan aksi yang baik meskipun tewas tipis dalam majoriti permainan mereka dengan barisan pertahanan harus lebih mantap bagi mengelakkan mudah dibolosi dengan barisan hadapan dilihat tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol.
Adakah Sang Penyu bakal jadikan Penang mangsa amukan dan melepaskan kekecewaan atau Harimau Kumbang akan menambah kepedihan pada luka Terengganu sebelum liga berehat selama dua minggu.