AKSI persahabatan pramusim antara Perak FC dan Penang FC dimenangi pelawat 1-0 menerusi jaringan Hadin Azman di penghujung minit permainan dalam pertembungan di Stadium Perak pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan menampilkan permainan menarik dengan saling berbalas serangan memburu gol.
Barisan The Bos Gaurus yang diketuai Christhian Obiozor dan kapten, Muhammad Hafizal acap kali mencemaskan kubu pelawat namun semuanya gagal menerjah jaring.
Anak buah Lim Teong Kim itu bermain agak baik apabila miliki empat dan lima peluang gol tetapi berdepan penyudah yang lemah.
Perak dan Penang meningkatkan tempo permainan pada baki 45 minit berikutnya dengan matlamat memecah kebuntuan.
Ketika peminat Seladang menyangka perlawanan berakhir seri tanpa jaringan, sepakan percuma cantik diambil Hadin memberikan gol kemenangan Harimau Kumbang minit ke 90+5′.
Kemenangan pasukan kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid itu menambah tonik sebagai persediaan menghadapi kejohanan Piala Harapan 2023 yang bakal berlangsung dari 1 Februari hingga 4 Februari ini.
Pertandingan itu bakal menampilkan empat pasukan iaitu tuan rumah Penang FC, Selangor, Kedah dan kelab Singapura, Geylang International.