JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mahu memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka apabila berhadapan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super sekali gus menutup tahun 2024 dengan nota yang cemerlang.

Bertemu Tok Gajah di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadikan gelanggang tuan rumah ekoran masalah padang di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, pengendali JDT, Hector Bidoglio hanya mahu para pemainnya fokus kepada memperbaiki aksi di dalam padang.

JDT yang baru mencatat kemenangan 2-1 keatas Kuala Lumpur City FC dalam saingan Piala Malaysia kini masih kekal tanpa kalah dalam saingan liga dengan 14 kemenangan dan satu keputusan seri selepas 15 perlawanan.

 

Hector Bidoglio tegaskan JDT perlu tingkatkan prestasi untuk memastikan kemenangan

“Setiap perlawanan adalah berbeza dengan kami hanya perlu fokus kepada diri sendiri terutama dalam ‘set pieces’ untuk memastikan kami sentiasa berkembang menjadi sebuah pasukan yang baik.

“Meskipun berdepan jadual yang padat, JDT mempunyai skuad yang besar dengan semua pemain tahu tanggungjawab untuk mencipta kemenangan dalam liga sebelum menutup tirai tahun 2024 dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui pemainnya sedikit keletihan dan berharap pemain yang tercedera dapat kembali untuk memberikan saingan kepada JDT.

Fandi mahu anak-anak buahnya kekal fokus untuk mengejutkan JDT 

Sri Pahang bergerak terus dari Manjung ke Iskandar Puteri dengan akhirnya mendapat padang latihan yang sesuai berbanding ketika di Kuantan dan ianya dijangka membantu skuad Tok Gajah dalam melakukan persiapan terbaik.

“Pemain-pemain saya sedikit keletihan kerana mengharungi perjalanan yang panjang dan saya juga berharap Stefano Brundi dapat kembali dalam aksi ini dan kemenangan ke atas Perak pada aksi Piala Malaysia sebelum ini akan menjadi motivasi terbaik buat kami untuk memberikan saingan,” jelasnya.

Sri Pahang kini di tangga kelapan Liga Super dengan 15 mata selepas 13 perlawanan dan sebarang keputusan positif di Stadium Sultan Ibrahim pastinya akan melonjakkan semangat sebelum menghadapi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.