PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon melihat kemenangan bergaya 5-2 ke atas DPMM FC pada Sabtu lalu sebagai detik penting dalam perjalanan kariernya bersama The Red Giants dalam saingan Liga Super musim ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu memilih untuk menjadikan kejayaan tersebut sebagai pemangkin positif, sambil menegaskan pemainnya perlu terus bekerja keras dan tidak cepat berpuas hati meskipun jentera serangan Selangor kini mula menampakkan ketajaman yang mengujakan penyokong.
“Kami menentang pasukan lawan yang berkualiti dan cukup kuat hingga memperoleh kemenangan. Sudah pasti saya berasa gembira, namun ini adalah langkah awal untuk lebih ke depan,” kata Pan-gon, yang turut memberi peringatan agar pasukannya kekal dengan mentaliti rendah diri.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu menegaskan perjalanan Selangor masih panjang dan menuntut tahap kemahuan yang tinggi untuk memastikan prestasi pasukan terus meningkat. “Perjalanan yang perlu Selangor harungi masih lagi panjang dan kami tidak boleh cepat berpuas hati. Kami kena merendah diri dan fikirkan cara untuk terus berkembang,” katanya.
Selepas 14 perlawanan, Selangor kini berada di tangga keempat Liga Super, hanya satu mata di belakang Kuala Lumpur City FC di tempat kedua, sekali gus menghidupkan kembali harapan penyokong untuk melihat The Red Giants memburu slot ke kejohanan peringkat Asia.