Select Page

“Berada dalam industri bola sepak semata-mata untuk agenda peribadi” – TMJ

“Berada dalam industri bola sepak semata-mata untuk agenda peribadi” – TMJ

PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar beberapa pasukan yang tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan wang bagi penjagaan padang.

Menurut Tunku Ismail, beliau memuji inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan pihak Kementerian (KBS) yang bersedia untuk menawarkan geran kepada kerajaan negeri bagi menukar rumput stadium mereka kepada rumput jenis Zeon Zoysia.

“Ketika sesi perbincangan bersama Menteri di Johor Bahru baru-baru ini, saya telah memberitahu beliau bahawa kos untuk satu padang bola sepak yang bagus tidak melebihi RM1 juta.

“Saya mencadangkan jika KBS boleh membantu bola sepak Malaysia dengan memberikan padang yang baik di semua 14 negeri. Ia kemudian diselenggarakan oleh pasukan bola sepak yang menggunakannya kerana padang adalah antara perkara utama dalam sukan ini. Saya gembira apabila YB Hannah bersetuju,” tulis Tunku Ismail menerusi status di Instastorynya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mendedahkan bahawa terdapat beberapa pasukan tidak berminat.

 

Keadaan padang yang agak teruk ketika aksi Kuching City FC bertemu Sabah FC pada Isnin. Foto: Kuching City FC

“Apabila saya melakukan penyelidikan dan mendapat maklumat, ada beberapa pasukan tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan wang untuk penjagaan padang meskipun ia adalah perkara penting.

“Keadaan padang yang teruk ini juga adalah sebab mengapa negara jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan lain-lain dapat menganjurkan kejohanan-kejohanan antarabangsa dan kita tidak.

 

“Kos penyelenggaraan adalah sekitar RM240,000. Takkan sudah dapat padang percuma tetapi tidak boleh menampung kos penyelenggaraan walaupun terima bajet tahunan bernilai jutaan ringgit?.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua stadium di Malaysia kini berpeluang guna rumput Zeon Zoysia

“Ini adalah akibatnya apabila ada pemilik kelab atau presiden bola sepak yang tidak mempunyai minat atau kecintaan terhadap bola sepak tetapi berada dalam industri bola sepak semata-mata untuk agenda peribadi.”

Pada Selasa, Hannah memberitahu pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri mengenai keputusan mereka sama ada mahu menerima geran untuk penukaran rumput padang di stadium bola sepak atau tidak.

Namun begitu geran ini hanyalah untuk penukaran padang sahaja dan tidak membabitkan kos penyelenggaraan padang yang perlu dilakukan sendiri oleh penerima geran itu.

Video Terkini

Loading...