GARY Neville tanpa berselindung menyatakan Liverpool kini merupakan ‘pilihan utama’ untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan melihat Arsenal sebagai pesaing terbesar mereka.
Liverpool berada empat mata di hadapan dalam carta EPL pada Hari Krismas selepas skuad kendalian Arne Slot membelasah Tottenham Hotspur 6-3 awal pagi Isnin.
Sementara itu, pesaing gelaran mereka, Arsenal, turut mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Crystal Palace lebih awal hujung minggu itu. Namun, Chelsea yang berada di tempat kedua kehilangan peluang apabila hanya mampu seri 0-0 ketika menentang Everton.
Neville menegaskan Chelsea, yang sebelum ini diramal akan bergelut musim ini, sedang menikmati kempen yang mengagumkan. Bagaimanapun, beliau menjangkakan Arsenal akan menjadi ancaman utama kepada Liverpool dalam merebut gelaran tersebut.
“Liverpool jelas merupakan pasukan terbaik dalam Liga Perdana ketika ini.
“Mereka adalah pilihan utama untuk gelaran. Penurunan prestasi Man City sangat mengejutkan, dan saya tidak pasti ada yang benar-benar memahami bagaimana ia boleh jadi seteruk ini.
“Chelsea menghadapi perlawanan sukar hari ini, tetapi mereka sedang bermain baik dan menjalani musim yang bagus.
“Saya rasa pasukan yang perlu Liverpool perhatikan ialah Arsenal. Jika mereka dapat menutup jurang menjelang Mac dan April, mereka boleh menjadi ancaman besar.
“Tetapi buat masa ini, Liverpool adalah pilihan utama. Risiko terbesar untuk mereka ialah kecederaan – jika mereka kehilangan Van Dijk dan Salah, itu akan memberi kesan besar.
“Van Dijk seperti Rodri untuk Liverpool, dia menjadi tunjang pasukan. Memastikan dia kekal cergas adalah sangat penting.
“Ada cabaran besar yang bakal tiba, jadi kita masih jauh daripada boleh menyerahkan gelaran kepada Liverpool. Tetapi mereka berada dalam kedudukan yang hebat dan buat masa ini mereka adalah pasukan terbaik dalam liga, seperti yang ditunjukkan oleh carta,” kata Neville dalam podcast Sky Sports selepas pertembungan luar biasa di Stadium Tottenham Hotspur.
Arsenal sebelum ini hampir menjuarai EPL di bawah kendalian Mikel Arteta, namun dua kali gagal apabila dipintas oleh Manchester City. Neville yakin skuad The Gunners mampu memberi cabaran sekali lagi.
Juara bertahan, Manchester City, hampir pasti tersingkir daripada perebutan gelaran selepas prestasi mengejutkan menyaksikan mereka kini di tempat ketujuh, 12 mata di belakang Liverpool.