JAGUH lontar peluru lelaki negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bebas daripada sebarang tekanan dan bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik Selasa ini.
Atlet berusia 34 tahun ini kelihatan cukup bersedia dari segi mental dan fizikal dan terus menjalani latihan sebelum tiba hari paling penting.
Momentum menjuarai Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe Mei lalu dengan rekod 17.29 meter masih kekal dalam dirinya dan mahu meneruskannya persembahan terbaik di Stade de France.
“Semua okay. Saya sangat okay. Latihan mengekalkan prestasi terbaik juga okay. Malah saya juga sudah bersedia dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sini.
“Masih ada sehari lagi untuk sesi terakhir persiapan,” ujarnya ditemui di Perkampungan Atlet, Ahad.
Ziyad antara atlet yang menjadi tumpuan untuk merangkul pingat emas selepas terlepas pada edisi di Tokyo 2020.
Untuk rekod, atlet kelahiran Selangor ini telah merakam pingat emas di temasya Paralimpik Rio 2016, manakala penampilan pertamanya di London 2012 meraih pingat gangsa.