WAJAHNYA sentiasa tenang dengan senyuman, namun siapa tahu atlet memanah para negara, Nur Jannaton Abdul Jalil ini pernah terdetik untuk mengundur diri daripada melibatkan diri dalam sukan.

Atlet yang lebih mesra disapa Janna ini berkongsi pernah rasa kecewa dan tertekan dengan diri sendiri kerana dunia sukan ini masih baharu baginya.

Anak bongsu daripada lima orang adik beradik ini memberitahu, pada awal penglibatannya dalam sukan memanah hanya suka-suka dan mengisi masa lapang.

“Jujur saya beritahu, sepanjang zaman persekolahan saya banyak bergaul dengan orang-orang normal kerana bersekolah di sekolah biasa, malah tidak aktif bersukan.

“Tetapi pada usia 22 tahun, saya ada terlihat satu posting di Facebook oleh Kak Ras (Datuk Dr Ras Adiba Radzi) yang juga merupakan  pengasas OKU Sentral mengenai OKU (Orang Kelainan Upaya).

“Dari situlah saya mula berkawan dengan kawan-kawan OKU dan berjumpa dengan kelompok kumpulan yang besar. Mereka tanya saya, sama ada berminat untuk main acara memanah memandangkan tidak ada peserta wanita lagi ketika itu.

“Jadi saya setuju dan ketika itu hanya untuk suka-suka sahaja,” kongsi atlet kelahiran Seri Iskandar, Perak ini kepada FLASH SUKAN.

Memang betul, ‘tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Sejak aktif memanah, bakat Janna dilihat oleh sekumpulan jurulatih Negeri Perak.

“Saya diberitahu boleh bermain di peringkat yang lebih tinggi tetapi perlu dinilai terlebih dahulu mengikuti klafisikasi mengikut kelas dan kekurangan.

“Selepas dinilai saya lulus dan sejak itu saya dipanggil mewakili negara,” ujarnya.

Kini Janna, 29, tahun yang beraksi dalam acara compound individu sudah boleh berbangga dengan bakat yang ada menempa nama melakukan debut pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Keluarga terutama sangat gembira dengan berita saya layak ke Paris. Merekalah yang sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang bergelar atlet.

Janna (depan (kiri) bersama rakan jurulatih serta rakan sepasukan negara.

“Tetapi sebelum itu, saya pernah terdetik untuk berhenti bergelar atlet kerana saya tidak yakin dengan diri sendiri.

“Sehinggalah pada November tahun lalu saya berjaya secara merit ke Paris selepas mendapat tampat Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand.

“Abang saya sebenarnya sudah tahu saya akan layak, tetapi dia diamkan ‘jer’ sebab tak mahu saya rasa tertekan. Tetapi selepas dimaklumkan secara rasmi, saya rasa teruja untuk bertanding.

“Bagi aksi di Paris nanti, saya akan cuba memberi yang terbaik dan tidak akan mensia-siakan peluang yang datang ini. Saya sasarkan pingat tanpa mengira warna. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada atlet-atlet para negara.”

Kontinjen Malaysia bakal terbang ke Paris bermula 23 Ogos ini dengan menyaksikan 30 orang atlet bertanding dalam lapan acara.