MESKIPUN hanya sekali memenangi peringkat perlumbaan, Max Poole dari pasukan WorldTeam, Team DSM-Firmenich PostNL masih mampu muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Poole yang mula menyarung jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) sejak Peringkat 3 dari Taiping ke Cameron Highlands, mengekalkan penguasaan sebagai pendahulu sehinggalah ke peringkat kelapan yang mengelilingi bandar Bintulu hari ini.
Kemenangan itu meletakkan Poole sebagai juara keseluruhan paling muda dalam sejarah, pada usia 21 tahun sejak perlumbaan berstatus 2.Pro itu mula dianjurkan sejak 1996 mengetepikan rekod terdahulu yang dicatatkan Yonathan Monsalve (22 tahun) dari Androni Giocattoli Serramenti PVC Diquigiovann pada 2011.
Poole mencatat masa keseluruhan 26 jam 27 minit 44 saat (s) sepanjang lapan peringkat dan mengetepikan pencabar terdekat dari JCL UKYO, Thomas Pesenti ketinggalan 0:13s.
Sementara itu, peringkat terakhir (8) menyaksikan rakan Pesenti, Matteo Malucelli memenangi perlumbaan sejauh 147.5 kilometer (km) dengan catatan 3 jam 7 minit 38s, mengetepikan musuh terdekat dari Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn, manakala tempat ketiga diraih pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.
Kejayaan Malucelli yang muncul juara peringkat buat kali ketiga pada edisi ke-28 kali ini membolehkannya merampas Jersi Jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 80 mata, lebih dua mata berbanding De Kleijn, manakala kedudukan ketiga terbaik diisi Syritsa dengan 57 mata.
Menurut Poole yang menaiki podium sebanyak empat kali di Vuelta Espana tahun ini, ia semuanya seakan sempurna buatnya dan pasukan terutama selepas dia memenangi peringkat ketiga minggu ini di Cameron Highlands.
“Cuma sedikit terkilan prestasi saya semakin menurun apabila kami kehilangan seorang pelumba (Johan Dorussen). Jadi susah sedikit kami hendak melakar percaturan. Apa pun semua melakukan tugasan masing-masing dengan baik,” kata pelumba kelahiran Scunthorpe itu yang mengakhiri perlumbaan tempat ke-35 hari ini.
Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio pula berjaya membawa pulang Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit selepas mengumpul 27 mata diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).
Manabu Ishibashi dari JCL UKYO merangkul Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 26:30:02s diikuti rakan sepasukan Yuma Koishi (2:41s) dan kedudukan ketiga diisi Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) 2:45s.
Sementara itu, Equipo Kern Pharma muncul juara keseluruhan pasukan 79:24:12s, mengetepikan pasukan berstatus WorldTeam, Astana Qazaqstan Team (1:31s) dan tempat ketiga milik, Team Polti Kometa.
Saguhati buat peminat berbasikal tempatan ialah Malaysia Pro Cycling berjaya muncul pasukan ketiga keseluruhan Asia dengan mengumpul 79:58:46s, manakala juara milik JCL UKYO (79:35:36s) dan kedua diisi pasukan kebangsaan Thailand (79:58:24s).
LTdL 2024 melabuhkan tirainya di Bintulu dengan secara keseluruhan menelusuri laluan sepanjang 1,190 kilometer (km) yang turut membabitkan dua peringkat perlumbaan di Sarawak dan juga di semenanjung.