THE Magnificent Baling 100 (TMB100) 2025 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang sehingga menjadikan Baling satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
Acara larian denai yang diadakan setiap tahun ini bukan sahaja menarik peminat larian tempatan, malah mendapat sambutan antarabangsa dengan kehadiran peserta dari Indonesia, Singapura, Argentina, Jerman, Filipina, Rusia, Sepanyol, dan Vietnam.
Pada edisi pertama, TMB100 telah berjaya menarik lebih 800 peserta, dan tahun ini, jumlah tersebut meningkat kepada lebih 1,000 peserta dari pelbagai negeri dan negara.
Acara ini menawarkan empat kategori larian, iaitu 100km, 50km, 25km, dan 10km, bagi memberi peluang kepada pelari dengan pelbagai tahap pengalaman menikmati keindahan semula jadi kawasan ini.
“Laluan 100km TMB100 tidak begitu teknikal, namun persiapan fizikal dan peralatan perlu rapi sebelum perlumbaan dan sentiasa berwaspada serta peka dengan lokasi kawasan rehat ‘checkpoint’ yang disediakan oleh penganjur bagi merancang pengambilan nutrisi dengan sebaiknya.
“Laluan yang ditanda rapi serta kehadiran marshal di sepanjang laluan turut membantu melancarkan larian,” kata Muhammad Asyraf Ghazali, pemenang kategori lelaki terbuka 100km.
Laluan TMB100 membawa para peserta merentasi pelbagai landskap menakjubkan di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling.
Pelari-pelari yang menyertai acara ini perlu melintasi sawah padi, dusun buah-buahan, Gua Tembus, dan sungai Lubuk Pedati, untuk mendapatkan pengalaman unik yang jarang ditemui di tempat lain.
Seorang pelari antarabangsa yang juga pemenang bagi kategori 100km dari rusia sempat menceritakan pengalamannya kita menyertai acara ini.
“Cuaca sangat baik, dengan gerimis di awal permulaan yang menjadikan larian lebih mudah kerana suhu yang agak dingin.
“Ketika matahari terbit, kawasan diliputi kabus, menonjolkan pemandangan Gunung Baling yang sangat indah dan secara keseluruhan, pengalaman berada di Baling adalah sesuatu yang sangat menarik,” kata Evgenii Makarov.
Seiring dengan kempen Visit Kedah 2025, TMB100 berusaha mempromosikan keindahan alam semula jadi Baling yang kurang mendapat pendedahan.
Kehadiran peserta dan pengunjung juga turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat, membuka peluang kepada perniagaan kecil dan masyarakat Baling untuk berkembang.
Penganjur TMB100 berjanji untuk membawa pembaharuan menarik pada masa akan datang sekaligus menjadikan acara ini antara acara larian denai terbaik dalam kalendar sukan Malaysia.