TINGGAL tiga hari sahaja sebelum Harimau Malaya memulakan perjuangan mereka dalam pentas Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja!

Suasana semakin hangat dengan sorakan penuh semangat daripada penyokong tanah air yang tidak sabar untuk menyaksikan skuad kebangsaan melangkah ke medan perlawanan.

Penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya menyeru agar segala perbezaan pendapat dan sengketa ditinggalkan demi Malaysia.

Menurut mereka, ketika ini, tiada yang lebih penting daripada memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan yang bakal membawa nama negara di pentas Asia Tenggara.

Pesanan seperti “Buktikan kita berguna untuk Malaysia” kini bergema di media sosial, mengajak semua rakyat Malaysia untuk berdiri teguh di belakang pasukan kebanggaan negara.

Ramai penyokong dari seluruh pelusuk negara sedang merancang perjalanan mereka, sama ada untuk menyokong pasukan di gelanggang lawan atau di tempat sendiri. Piala AFF 2024 ini menjadi satu peluang keemasan untuk membuktikan bahawa penyokong Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau ini.

Gelombang semangat sudah mula dirasai dengan ribuan penyokong dijangka hadir di Kemboja untuk perlawanan pertama. Suasana sama dijangka di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila Harimau Malaya kembali bermain di tanah air.

Sudah 14 tahun berlalu sejak Malaysia terakhir kali menjulang kejuaraan Piala AFF pada tahun 2010. Kenangan manis itu kini menjadi inspirasi kepada seluruh pasukan dan penyokong untuk mengulangi sejarah gemilang.

Malaysia dahagakan kejayaan. Skuad Harimau Malaya, di bawah bimbingan jurulatih Pau Marti, telah menunjukkan peningkatan ketara dalam persiapan mereka. Kini, masanya untuk penyokong memberikan suntikan moral yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan.

Sokongan padu bukan sahaja di stadium tetapi juga di rumah dan di mana-mana sahaja akan menjadi pembakar semangat buat para pemain.

Ayuh Harimau Malaya, teruskan perjuangan! Malaysia boleh!