KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti, mengumumkan bahawa Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhirnya bersama skuad kebangsaan Malaysia.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pau Marti menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Penstrukturan ini melibatkan pelantikan ketua jurulatih baharu serta barisan kejurulatihan yang akan memimpin pasukan untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027, yang dijadualkan bermula tahun depan.
“Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami dengan skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN. Keputusan ini diambil dengan berat hati tetapi demi pembangunan jangka panjang bola sepak negara,” ujar Pau Marti.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap peluang yang diberikan selama tiga tahun menerajui skuad kebangsaan, menyifatkannya sebagai pengalaman luar biasa yang dipenuhi dengan kenangan indah.
“Adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk terus bersama-sama dalam perjalanan ini. Walaupun ia akan berakhir, saya yakin Pasukan Kebangsaan akan terus berjuang mempertahankan maruah Malaysia. Saya juga berharap para pemain, terutamanya bakat muda, dapat menikmati kejohanan ini dan suasana luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama penyokong setia kita,” katanya.
Pau Marti turut memberi jaminan bahawa Harimau Malaya akan memberikan aksi terbaik dalam kejohanan ini, sebagai penghormatan terakhir kepada penyokong yang sentiasa setia menyokong pasukan.
Beliau menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya dalam usaha meraih kejayaan di Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, yang menjadi medan terakhirnya sebagai ketua jurulatih.
“Marilah kita bersama-sama dan berikan yang terbaik untuk pasukan ini,” kata Pau Marti.