BEKAS jaguh karate negara, R. Sharmendran mendapat kepercayaan sepenuhnya dari Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), apabila diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan tetap sekali gus menamatkan tugasan interimnya.

Pelantikan itu diumumkan Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad dengan KPI jelas, mahu merealisasikan impian tiga emas di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Datuk Nur Azmi sahkan, pelantikan Sharmendran bagaimanapun perlu menunggu pengesahan kontrak dari Majlis Sukan Negara (MSN). 

Untuk rekod, Sharmendran dilantik sebagai ketua jurulatih karate kebangsaan sementara pada 10 Disember tahun lalu.

Namun tugasan sulung Sharmendran bukan tugas mudah apabila dia bakal mengemudi skuad negara ke gelanggang berprestij, Kejohanan WKF Karate 1, Series A di N9 Arena, Nilai pada 3 hingga 5 Oktober ini.

Seramai 35 atlet negara disenaraikan dalam kejohanan yang menghimpunkan bintang elit dunia bagi acara Kumite dan Kata itu.

“Ini kejohanan besar, tahap kedua dalam struktur liga WKF, malah setaraf Olimpik, jadi kali ini lebih kepada menguji tahap sebenar atlet kita sebelum ke Sukan SEA,” kata Nur Azmi.

Beliau menambah, kelebihan penganjuran di tanah air membolehkan Malaysia menghantar skuad penuh selepas tiga pusingan terdahulu berlangsung di Tbilisi, Larnaca dan Salzburg.