“INISIATIF seperti ini penting dalam mewujudkan ekosistem yang inklusif, mampan dan kompetitif, bukan hanya untuk mencipta kejayaan di peringkat nasional, malah membuka jalan ke pentas antarabangsa.”

Itu penegasan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh ketika merasmikan Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Sports Media Inc di Saloma Kuala Lumpur, hari ini menyaksikan saingan musim baharu yang lebih segar, profesional dan kompetitif.

Sebanyak lapan pasukan termasuk empat muka baharu bakal bersaing dalam 56 perlawanan dengan kelainan besar musim ini apabila setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan dua pemain import langkah strategik untuk memperkasa daya saing dan pembangunan bakat tempatan. Antara pasukan bertanding ialah Kelana United FC, Sabah FA, Selangor FC, Red Eagles FC, Young Tigress, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA dan MBSJ FC.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melangsungkan Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 dan telah dirasmikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di Saloma Kuala Lumpur, hari ini. foto:FAM

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob menyifatkan peraturan baharu pendaftaran pemain import sebagai nilai tambah utama kepada liga yang kini membuka peluang ke Kelayakan AFC Women’s Champions League tahun depan. Beliau menekankan keperluan untuk melahirkan pemain yang lebih bersedia dan berdaya saing di peringkat serantau serta global.

LWN 2025 membuka tirai Sabtu lalu dengan perlawanan sulung antara juara bertahan Kelana United FC menentang Red Eagles SC yang berkesudahan seri 1-1. Ia menjadi petanda awal bahawa saingan musim ini akan lebih rancak dan seimbang.